Malaysia antara 10 tertinggi ambil arak di dunia
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud
Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.
"Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun," dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.
Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.
Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.
Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.
"Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.
"Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.
Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.
"Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.
"Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali," soalnya lagi.
Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.
Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.
"Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.
"Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan